TelataH si Manja Yang MencuiT HaTi

Hari ni zayd dah masuk 3 bulan dan 11 hari. dia makin comel dan nakal. ana suka main dengan dia sebab dia selalu tersenyum dan ketawa. tapi zayd dah tambah nakal juga. dia suka makan tangan sampai terbatuk-batuk. siap pandai buka sarung tangan sendiri lagi tu... heE...
Tapi dia lebih excited bila main dengan abinya. sampai teriak-teriak lagi tu... comel tul..


Opps.. da jam11 da. zayd dah tido pun. tp xberapa lena. sekejap-sekejap dia terbangun. heE... dia nak ajak ana tido sama tu. nanti bila ada peluang, ana menulis lagi ya.. Assalamualaikum...



Jelajah Geologi yang Menakjubkan


ana sedang mencari-cari beberapa maklumat mengenai batuan gabro dan basalt ketika ana secara kebetulan menemui artikel ini. memandangkan kedudukan kawasan penemuan masih berada di sekitar negeri kita Negeri di Bawah Bayu, ana berasa amat tertarik hati untuk berkongsi dengan rakan-rakan yang lain.

sumber : http://www.bernama.com
tarikh pengeluaran artikel : 23 julai 2009, 13.54 pm

BONGKAH VOLKANIK DI SUNGAI BALUNG BOLEH DIJADIKAN TARIKAN PELANCONG TAWAU

Oleh Nashir Mansor

TAWAU, 23 Julai (Bernama) -- Ketika mula-mula menyaksikan ratusan bongkah batuan volkanik jenis 'basalt' tersusun menegak muncul dari permukaan Sungai Balung, penulis semacam tidak percaya struktur susunan batu itu terjadi secara semulajadi.
Bongkah-bongkah batuan volkanik atau 'columnar-basalt' berbentuk sama ada segi lima atau segi enam itu bukan sahaja tersusun rapi malah lebih menakjubkan kesemuanya mempunyai saiz yang hampir sama dan sekata.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa bongkah batu berkenaan seolah-olah dibuat di kilang dalam acuan yang sama kemudian digunakan sebagai bahan cerucuk di sungai berkenaan yang terletak 40 km dari sini.
Ukuran permukaan setiap bongkah batu basalt berkenaan dianggarkan 60cm x 80cm namun tidak diketahui secara pasti berapa panjang dan sejauh mana bongkah berkenaan tertanam ke dalam dasar sungai atau perut bumi.

Jika anda melihat susunan bongkah batu itu dari atas, khususnya di bahagian yang sama tinggi dan rata, jelas kelihatan coraknya seolah-olah susunan batu-bata di ruang pejalan kaki dengan bucu, garis pemisah atau ruang antara satu bongkah batu dengan bongkah yang lain ukurannya hampir sama dan sekata.



PENYEJUKAN MAGMA

Bongkah-bongkah batu yang tegak dan tersusun sebelah menyebelah di bahagian tebing sungai di lokasi berkenaan pula seolah-olah dicerucuk sebagai benteng bagi mengelak runtuhan tebing sungai berkenaan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (Korporat dan Ekonomi Mineral) Dr Mustapha Mohd Lip, bongkah batu berkenaan adalah hasil penyejukan magma dari perut bumi ketika muncul di permukaan bumi.

Batuan 'basalt' ini dikelaskan sebagai batuan volkanik ekstrusif yang terbentuk di atas batuan sedimen yang lebih tua iaitu batuan berlapis jenis batu pasir dan batu lumpur.
"Bila magma cair naik ke permukaan bumi dan ketika menjalani proses penyejukan ia menjadi hablur/kristal secara semulajadi. Bentuk hablur berkenaan seperti bentuk bongkah batuan 'basalt' tersebut. "Kajian yang dijalankan oleh jabatan ini mendapati usia batu volkanik ini tidak melebihi 27,000 tahun," kata Dr Mustapha kepada Bernama.

LETUPAN GUNUNG BERAPI


Batuan basalt itu terbentuk selepas letupan volkanik Gunung Maria (ketinggian 1,183 meter dari aras laut) dalam kawasan Taman Bukit Tawau, kira-kira 24 km di utara daerah ini.
Struktur bongkah batu seperti itu juga boleh dijumpai di beberapa lokasi sepanjang Sungai Balung. "Lebih penting, batuan volkanik ini cuma terdapat di sini sahaja.

Tempat lain di Sabah dan Semenanjung Malaysia tidak ada bongkah batuan unik seperti ini," katanya ketika membuat lawatan ke tapak itu baru-baru ini.
Menurut Dr Mustapha, kawasan berkenaan dijumpai oleh ahli geologi Jabatan Mineral dan Geosains ketika menjalankan kerja pemetaaan geologi. "Benda sebegini tidak banyak di dunia. Yang saya pasti negara yang memiliki struktur seperti ini ialah Amerika Syarikat dan Iceland," katanya.

TARIKAN PELANCONG


"Saya berpendapat tempat ini boleh menjadi daya tarikan pelancong terutama dari luar negara ke Tawau. Pelancong luar negara memang minat benda-benda semulajadi seperi ini.
"Kalau ada ejen pelancongan yang membawa pelancong untuk aktiviti selam skuba di pulau-pulau di Semporna, seperti Mabul dan Sipadan, dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau, mereka boleh singgah sekejap di kawasan ini," katanya. Sabah masih kurang aktif dalam mempromosikan khazanah semulajadinya berbanding negeri jiran, Sarawak, sedangkan khazanah semulajadi Sabah tidak kurang hebatnya.

Tempat lain yang menjadi tarikan di kawasan Tawau ialah kawasan Air Panas, lumpur dan batuan volkanik di Bukit Tiger. Batuan volkanik di Bukit Tiger dikatakan sangat sempurna sehingga ia tertulis dalam buku teks sebagai rujukan saintis bumi.
Menurut Dr Mustapha, memandangkan columnar basalt di Tawau keadaannya sudah agak terhakis dan dikhuatiri proses hakisannya bertambah buruk maka khazanah itu perlu dipelihara.

HAKISAN AKTIF


"Kalau dibiar, selepas berpuluh-puluh tahun, sedikit demi sedikit batuan ini kemungkinan akan hilang akibat hakisan yang aktif. Kita kena kawal sebarang aktiviti pembangunan di luar sana bagi mengawal hakisan air (akibat banjir dan faktor lain.
"Kami berharap tempat ini jangan disentuh. Kalau tempat ini tidak disentuh, ia akan terpelihara. "

Kami akan syorkan kepada Kerajaan Negeri Sabah supaya kawasan yang menarik ini dijadikan kawasan simpanan yang dipelihara dengan menghentikan pemberian lesen untuk sebarang aktiviti kuari," katanya.
Katanya, Jabatan Mineral dan Geosains boleh membantu kerajaan negeri Sabah untuk mengenalpasti tempat dan struktur geologi lain yang menarik di negeri ini untuk dijadikan destinasi pelancongan.

Wah... ana merasa teruja sekali untuk melihat sendiri kawasan tersebut. malangnya, semasa menjalankan kajian seluruh sabah bagi subjek Geologi Sejarah dan Stratigrafi dahulu, ana tidak berpeluang ke sana. walau bagaimanapun, tahniah bagi mereka yang telah menemui kawasan tersebut. selamat maju jaya !

Luka di Tangan Nampak Berdarah, Luka di Hati siapa yang Tahu.

Hari ini 24hb Julai 2009. Dah 2 tahun lebih ana masuk Islam. pada ana, ana bukanlah tergolong dalam golongan yang baik, yang berpegang teguh pada ajaran Islam serta menegakkan kebenaran Islam seperti rakan-rakan yang lain. ana terlalu jauh terbelakang dari yang lain. malah mungkin ana adalah sama seperti golongan muslim yang jahil tentang agama.

hemm... ana rindu tul dengan keluarga ana di kampung. rasa nak balik ja masa ni dan habiskan masa dengan dorang. tapi... hemm... tapi sejujurnya, ana masih tidak berani berhadapan dengan abang-abang serta kakak-kakak ana yang tidak setuju dengan pilihan ana ( masuk Islam ). bukanlah diorang ada mengugut ana atau apa, tapi ana rasa betul-betul tersisih. ana rasa yang dorang masih tidak dapat menerima pilihan ana.

malah ana juga tidak berani berhadapan dengan orang-orang kampung. bukan ana malu sebab ana dah jadi seorang Muslimah. tapi ana segan sebab ana ni macam melebih-lebih pula. dah la masuk Islam, pakai tudung labuh pla tu. padahal ilmu agama dalam dada tak cukup pun sejengkal. jangankan sejengkal, sebesar ibu jari pun tak ada.

dah tu, masa dulu-dulu, ana ni kan penginjil macam mama ana. sampai ada suatu masa tu orang kampung cakap ana ni anut agama ajaran sesat sebab ketidaksehaluan agama dengan dorang walaupun masih dalam skop agama yang sama iaitu Kristian. dah la ana masa dulu-dulu jenis perempuan yang kasar sifatnya. masuk hutan keluar hutan sendiri-sendiri, pergi sana sini sendiri-sendiri. sampai ikut persatuan Taekwando pla di kampung jiran sendiri-sendiri. pastu sekarang pla 100% berubah jadi muslimah.

mestilah ana akan rasa janggal. bukan ana saja, mesti orang-orang di kampung tu pun rasa pelik tengok ana nanti. tu yang ana kurang selesa nak balik kampung tu. dah lah mama ngan bapa dah pindah rumah di kawasan pedalaman yang hampir semua jiran-jirannya tiada agama @ Pagan. pa la nanti dorang cakap. silap haribulan, mak bapa ana juga yang di cemuh sebab ada anak macam ana. hemmm...

tapi apapun, sebenarnya ana rasa sedih sangat-sangat. sejak ana masuk Islam, ana rasa macam ana hidup sebatang kara di dunia ni. ana dah takda tempat nak mengadu, dan paling sedih, takda sorang pun yang betul-betul sayang dengan ana macam saudara sendiri. semua pun dengan hal masing-masing. jatuh bangun ana, ana terpaksa tanggung sendiri. padahal ana ni jenis yang lemah sangat. ana kadang-kadang keliru dan tak tau nak buat apa dengan hidup serta masa depan ana.

bila ana sedih, ana pendam ssendiri. yala, takkan la ana nak mengadu dengan mak pula. kan semua ini terjadi pun atas pilihan ana sendiri. hemm... kadang ana pernah juga rasa menyesal sebab pilih hidup sebagai seorang muslim. tapi bila ana nak 'patah balik', ana tak mampu. sebab dalam fikiran ana, ana tak boleh pura-pura buat-buat tak tahu langgar perintah Allah sebab memang ana da tahu pun yang benda tu tak boleh dan dosa. jadi, mau tidak mau, ana mesti teruskan juga jalan yang ana dah pilih ni. hemmm...

tapi betullah, sepanjang ana memeluk agama Islam, banyak yang ana terpaksa telan sendiri samada suka atau duka. ana takda sapa-sapa lagi dalam dunia ni. yalah, nak cakap yang saudara sesama Islam tu ada, tapi bukannya setiap masa dorang ada di samping ana dan faham perasaan ana. sampai ana terfikir, mungkin sebab bukan darah daging dorang, jadi dorang tak berapa ambil peduli sal orang lain.

.;; Ada Apa Pada Nama ;;.

Zayd ibn Harithah (Arabic: زيد حارثة)


Riwayat hidup beliau


Nama penuh beliau ialah Zaid bin Harithah bin Syurahil Al-Ka'biy. Ketika Zaid masih kecil iaitu semasa berumur 8 tahun, beliau dibawa keluar oleh ibunya Sa'diy binti Tha'labah untuk menziarahi kaumnya Bani Ma'n.
Semasa mereka di dalam perjalanan iaitu ketika hampir sampai kepada kaum mereka, mereka diserbu oleh pasukan berkuda Bani Al-Qain, kemudian pasukan tersebut merampas harta, unta dan menawan kanak-kanak. Sepanjang tempoh kehilangan Zaid, air mata ibu beliau tidak pernah kering, tidak pernah berhenti dari mengalir dan keresahan ibu beliau tidak pernah hilang serta hatinya tidak pernah tenang.

Kisah beliau dijual


Zaid dipamerkan di pasar Ukaz untuk dijual. Ukaz adalah merupakan pasar yang dibina oleh bangsa Arab di Mekah pada bulan-bulan haram sebagai tempat untuk menjalankan urusan jual-beli dan mengalunkan syair. Lalu beliau dibeli oleh salah seorang pembesar Quraisy iaitu Hakim bin Hizam bin Khuwailid, anak saudara Khadijah binti Khuwailid r.a yang kemudiannya menjadi isteri Rasulullah s.a.w.


Setelah itu Hakim memberikan Zaid kepada emak saudaranya iaitu Khadijah. Apabila Khadijah diberikan penghormatan untuk berkahwin dengan Rasulullah s.a.w, Khadijah memberikan pula Zaid kepada baginda sedangkan pada masa tersebut Rasulullah s.a.w masih belum dibangkitkan menjadi Rasul. Zaid terlalu gembira tinggal bersama dengan Rasulullah s.a.w malah beliau terlalu menyayangi baginda, begitu juga Rasulullah s.a.w terlalu menyayangi beliau. Beliau memilih untuk tinggal bersama dengan Rasulullah daripada kembali ke pangkuan bapa beliau.


Kedudukan Zaid di Mekah telah diketahui oleh bapa beliau, Harithah bin Syurahil. Lalu bapa beliau musafir ke Mekah dengan membawa sejumlah harta untuk menebus Zaid sambil diiringi oleh adik-beradik bapa beliau yang bernama Kaab.


Walau bagaimanapun Rasulullah s.a.w tidak mahu menerima harta dan baginda juga tidak mahu menerima barangan yang lain sebaliknya baginda bersabda kepada mereka berdua: "Bukankah kamu memiliki sesuatu yang lebih baik daripada tebusan?"


Mereka berdua berkata: "Apakah itu?"


Lalu baginda bersabda: "Kita serahkan sahaja kepadanya, sekiranya dia memilih untuk bersama dengan kamu, dia akan menjadi milik kamu tanpa tebusan dan sekiranya dia memilih aku, demi Allah aku bukanlah terdiri dari kalangan orang yang tidak suka apabila dia dipilih."


Kemudian mereka berdua menjawab: "Kamu telah memberikan pilihan yang sangat tepat." Tetapi Zaid telah memilih untuk tinggal bersama dengan Rasulullah s.a.w menyebabkan ayah dan bapa saudara beliau terkejut lantas bapa beliau berkata:


"Betapa bodohnya kamu wahai Zaid! Adakah kamu memilih kehidupan menjadi hamba daripada bapa dan ibu kamu?!"


Lantas Zaid menjawab: "Sesungguhnya aku mendapati orang ini memiliki sesuatu yang tidak boleh sama sekali aku berpisah daripadanya." Sebaik sahaja Zaid mengucapkan kata-kata tersebut, Rasulullah s.a.w terus menarik tangan Zaid kemudian keluar ke Masjidilharam seterusnya baginda berdiri di atas batu sambil memegang Zaid lalu berkata kepada pembesar Quraisy:


"Wahai bangsa Quraisy! Saksikanlah bahawa kanak-kanak ini adalah anak aku, dia akan mewarisi harta aku dan aku akan mewarisi hartanya". Ketika itu hati bapa dan bapa saudara beliau menjadi tenang kemudian mereka berdua meninggalkan Zaid tinggal bersama dengan Rasulullah s.a.w seterusnya mereka berdua pulang dengan hati yang tenang. Bermula peristiwa tersebut Zaid dikenali dengan Zaid bin Muhammad sehinggalah tiba seruan Islam yang mengharamkan penggunaan bin bagi anak angkat kepada bukan bapanya dengan turunnya firman Allah s.w.t:

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ


Yang bermaksud: Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri.

Setelah itu Zaid digelar dengan Zaid bin Harithah.

Perjuangan beliau pada jalan Allah


Selepas Rasulullah s.a.w dibangkitkan menjadi Rasul, Zaid adalah terdiri dari kalangan orang-orang yang terawal memeluk Islam, beliau pernah dilantik menjadi panglima tentera bagi beberapa utusan dan pertempuran baginda dan beliau pernah menjadi wakil kepada Rasulullah s.a.w di Madinah ketika baginda keluar berperang.

Kematian beliau


Pada tahun kelapan Hijrah, Zaid bin Harithah keluar ke peperangan Mu'tah sebagai seorang panglima tentera Islam. Beliau memimpin seramai 3,000 bala tentera. Ketika tentera Islam sampai di Ma'an (Jordan sekarang), tiba-tiba mereka diserang oleh Heraclius Raja Rom yang mengetuai seramai 100,000 bala tentera yang kemudian dia dibantu pula oleh 100,000 bala tentera daripada musyrikin Arab yang bergabung dengannya. Di dalam peperangan tersebut, Zaid bin Harithah gugur syahid kemudian Jaafar bin Abu Talib menjadi panglima tentera menggantikan beliau, tetapi dia juga turut terkorban. Selepas itu Abdullah bin Rawahah pula menjadi panglima tentera, walau bagaimanapun dia juga turut terkorban. Seterusnya umat Islam memilih Khalid bin Al-Walid yang kemudiannya beliau mengundurkan tentera dan menyelamatkan mereka dari turut menjadi mangsa terkorban.


Rasulullah s.a.w terlalu sedih di atas kematian Zaid sebagai seorang teman baginda malah baginda juga banyak menangis di atas kehilangan Zaid, orang yang sangat baginda sayangi.

Warkah Kenangan

Oh sahabat-sahabat ku...
Telah di takdirkan-Nya kita bertemu untuk menjalinkan ikatan yang bernama PERSAHABATAN & PERSAUDARAAN...
Indahnya detik itu bukan ?

Sahabatku,
Masihkah kau ingat saat kita bergurau bersama ?
menyimpul tawa yang bagaikan jerami kasih di antara kita,
kau tergelak riang dan ku tersenyum bahagia...

Oh duhai teman,
Masihkah kau ingat detik kita berkumpul bersama ?
mencipta senandung bicara yang mengamit rindu,
kau mengolah kata dan aku mengiyakannya...

Tapi kini,
kita telah mengorak langkah yang berasingan,
kau di Utara sementara aku maju ke Selatan,
yang tinggal hanyalah Silaturrahim bertunjangkan Iman,
Terpatri sebuah kenangan yang menuntut kejujuran...
Masihkah ada PERSAHABATAN & PERSAUDARAAN itu ?

Oh sahabat ku yang abadi dalam ingatan,
maafkan aku jika gagal memahami mu,
Mungkin benar aku bukanlah insan yang terbaik bagi mu,
kerana aku bimbang gelak dan tawa kita hanyalah sementara,
kita kian terpisah oleh jurang waktu yang dalam,
Mungkin di sana akan kau temui seseorang yang lebih baik untuk kau jadikan sahabat..
yang lebih dekat dengan jiwa dan mata mu...

Aduhai sahabat yang ku rindui,
Jangan..
Jangan kau pinggirkan jalinan kita hanya kerana pancaindera,
Jangan kau singkirkan ikatan kita hanya kerana jarak dan waktu,
Jangan kau usir PERSAHABATAN ini hanya kerana aku tiada di samping mu,
dan Jangan pernah lupa bahawa kita adalah sahabat yang telah ditakdirkan-Nya...

Salam Mujahidah bersulam doa Islamiyah...

.:: Zayd ku Sayang ::.

* si kecil yang mencuit hati

* senyuman sang Permata Hati

.:: DETIK KELAHIRAN SANG PERMATA HATI ::.


* Anakanda tercinta, Zayd Harithah Bin Johan


30hb Mei 2009


12.00 p.m – Hari ini ana bercadang untuk ke Hospital Likas. Selain daripada bertujuan untuk meninjau-ninjau keadaan di sana sebagai persediaan di waktu kecemasan, ana juga ingin bertanyakan tentang kurangnya gerakan bayi sejak semalam kepada doktor di sana. Walau bagaimanapun, keadaan tubuh ana yang agak sakit-sakit dan keletihan menyebabkan ana berbelah bagi sama ada hendak meneruskan rancangan tersebut ataupun tidak. Tambahan pula, ana dapat menjangkakan bahawa ana pasti akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya ana membuat rawatan di sana kelak.


1.30 p.m – Akhirnya ana memutuskan untuk pergi juga.


2.15 p.m – Ana dan suami tiba di perkarangan Hospital Likas. Dengan berpandukan papan tanda, kami menapak ke aras dua hospital untuk ke ruangan rawatan ibu bersalin. Ana memberitahu staf bertugas tentang gerakan bayi yang kurang. Justeru, pemeriksaan denyutan jantung bayi( cardiotocography, CTG ) dijalankan. Kedengaran kuat dan laju. Staf tersebut menyatakan bahawa bayi masih berkeadaan baik.


4.39 p.m – Doktor datang untuk mendapatkan beberapa maklumat kesihatan secara lisan.


5.10 p.m – Rasanya sudah agak lama ana berada di ruangan ini. Ana beranggapan bahawa sebentar lagi ana akan pulang dan berehat. Hari jangkaan kelahiran bayi lama lagi. 2hb Jun. Walau bagaimanapun perhitungan ana meleset apabila seorang doktor menyuruh ana berbaring di ruangan khas untuk menscan bayi. Ana terkejut apabila doktor memberitahu bahawa air ketuban di dalam rahim telah berkurangan dan menyebabkan bayi tidak mempunyai cukup bendalir untuk bergerak aktif. Oleh sebab itu, doktor menyarankan agar ana ditahan dan dimasukkan ke dalam wad pada malam ini. Hemmm... sedihnya.


5.50 p.m – Staf bertugas mengambil sampel darah. Sakit. Namun ana sudah tidak mahu memikirkannya. Untuk sekian kali, ana diarahkan berbaring di ruangan khas untuk diberikan suntikan bagi membolehkan ubat antibiotik dapat disalurkan ke dalam tubuh ana. Rasanya lebih sakit dan ngilu berbanding tadi. Kini pergelangan tangan kanan ana menjadi kebas dan perit. Kemudiannya staf bertugas menghantar ana ke wad Kenanga 1, bilik nombor 3. Suami ana sudah pulang sebentar tadi untuk mengambil barang-barang keperluan ana.


7.20 p.m – Ana mengambil wudhu dan bergerak ke aras 6 untuk menunaikan solat.


8.30 p.m – Suami tercinta datang semula untuk menyerahkan beg pakaian yang telah disediakan sejak awal. Sayangnya dia tidak dibenarkan melawat terlalu lama kerana waktu melawat sudah tamat dan hari telah malam. Pergelangan tangan kanan ana semakin kebas dan sakit. Namun demikian, belum terasa sebarang kontraksi yang ketara. Doktor menjangkakan ana akan melahirkan pada esok hari.



* Abu Zayd Mencinta


31hb Mei 2009


4.52 a.m – Staf nurse yang bertugas menjalankan CTG sekali lagi. Graf denyutan jantung bayi agak baik namun masih belum terdapat sebarang kontraksi lagi.


6.00 a.m – Ana baru balik dari surau aras 6 pada jam 5.47 a.m tadi. Satu dos antibiotik dimasukkan melalui jarum yang dipasang semalam pada pergelangan tangan kanan. Sebentar lagi ubat akan dimasukkan untuk merangsang pembukaan pintu rahim. Hemmm... Entah bagaimanalah rasanya nanti. Sakitkah ? ana hanya mampu pasrah dan bertawakal kepada-Nya.


6.18 a.m – Doktor datang untuk memasukkan ubat. Sedikit rasa sakit namun ana cuba untuk mengatasinya dengan menarik nafas panjang dan menghembuskan perlahan-lahan melalui mulut di samping menurut sahaja semua arahan yang diberikan. Walau bagaimanapun, pintu rahim belum juga terbuka. Menurut kenyataan doktor, ia hanya boleh dimasukkan satu jari sahaja. Seterusnya, doktor memberitahu bahawa ana tidak boleh bangun dari katil mahupun duduk selama dua jam daripada waktu ubat dimasukkan. Pada waktu ini, ana berharap agar suami ana berada di sisi ana. Namun apakan daya, waktu melawat masih lama lagi. Jam12.30 p.m nanti.


8.15 a.m – Staf nurse datang semula untuk membuat pemeriksaan CTG. Perut ana sudah mula terasa sakit-sakit. Ana terasa ingin ke bilik air namun memandangkan doktor tidak membenarkan ana untuk bangun dalam masa 2 jam, ana terpaksa berbaring sahaja. Rasa tidak selesa kerana terlalu lama berbaring di tambah lagi dengan alat yang diikat pada bahagian perut. Pergelangan tangan kanan juga terasa semakin sakit.


10.00 a.m – Ana memperhatikan jarak waktu setiap kontraksi. Ianya berubah-ubah dari setiap 7 ke 10 minit.


10.33 a.m – Kontraksi sudah semakin kerap dan tetap iaitu setiap 5 minit. Setiap kali kontraksi datang, perut ana terasa begitu sakit sehingga ke bahagian pinggang. Sakit sehingga ana kekadang mengerang dan menangis sendiri sambil cuba menarik nafas panjang untuk mengurangkan rasa sakit.


12.30 p.m – Kini tiba waktu makan tengah hari. Suami ana belum datang lagi walaupun waktu melawat sudah tiba. Mungkin dia pergi ke surau untuk menunaikan solat zohor. Sementara ana terpaksa makan dengan cepat memandangkan kontraksi akan datang setiap 5 minit.


3.30 p.m – Staf yang bertugas datang semula untuk membuat pemeriksaan CTG sekali lagi. Kontraksi kini datang setiap 2 minit sekali. Ana sudah tidak mampu menahan rasa sakit dengan menarik nafas seperti sebelumnya. Mujurlah suami ana setia menemani dan membantu mengurangkan rasa sakit dengan mengurut-urut tengkuk dan belakang ana. Walau bagaimanapun, ana sudah benar-benar tidak tahan sakit. Graf denyutan jantung bayi juga terdapat sedikit masalah. Ianya sudah tidak sekata seperti sebelumnya. Justeru, staf memanggil doktor dan membuat pemeriksaan. Bukaan pintu rahim sudah 5 cm. Staf bertugas mengambil keputusan untuk memecahkan air ketuban.


3.50 p.m – Ana akhirnya ditolak ke dewan bersalin. Sayangnya, suami ana tidak dibenarkan untuk menemani kerana tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada klinik masing-masing. Ana dimasukkan ke bilik nombor 7 dan di biarkan bersendirian buat seketika. Dalam kesakitan, ana dapat mendengar situasi seorang ibu di bilik bersebelahan meneran buat seketika diikuti oleh tangisan bayi kemudiannya. Alangkah baiknya jika ibu itu adalah ana... huU...


Sekitar jam 4.15 p.m, seorang doktor datang dan membuat pemeriksaan bukaan pintu rahim sekali lagi. Sudah 8 cm. Wah... cepatnya. Ana teringat seorang ibu di wad yang sama dengan ana. Semalaman dia menunggu namun masih juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan bukaan. Tetap 3 cm. Di ruangan ini, ana sering dibiarkan sendirian. Kesakitan sudah tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata lagi. Kekadang ana terasa seakan-akan pinggang ana ingin tercabut dan ngilu yang tak terperi. Ana cuba untuk tidak berteriak dan hanya menumpukan dengan pernafasan yang teratur. Walau bagaimanapun, kesakitan ini menyebabkan ana tidak mampu bertahan. Ana cuba meminta painkiller daripada staf yang bertugas. Walau bagaimanapun mereka tidak memberikan ana sebarang painkiller buat seketika. Mungkin mereka terlupa ataupun mereka terlalu sibuk sehingga tidak dapat memberikannya secepat mungkin. Akhirnya ana mengambil keputusan untuk menekan lonceng dan meminta painkiller sekali lagi. Kini, mereka menyediakan gas enthonox bagi mengurangkan rasa sakit. Walau bagaimanapun, selain daripada memenatkan menyedut gas tersebut, ia juga membuatkan ana merasa mengantuk dan lemah.


Seterusnya seorang staf datang dan membuat pemeriksaan pintu rahim sekali lagi. Ana memberitahunya bahawa doktor baru sahaja memeriksanya tadi agar dia berhenti namun staf tersebut tidak mengendahkan ana. Staf tersebut sebaliknya menyuruh ana meneran bagi memulakan sesi melahirkan. Malangnya, ana tidak pandai meneran memandangkan ini merupakan pengalaman pertama ana untuk melahirkan. Ana berharap agar staf tersebut berbaik hati mengajar cara-cara meneran pada ana. Sayangnya dia malah memarahi ana dan mengatakan bahawa setiap ibu mengandung harus tahu cara bersalin. Ana berasa sedih dan terus berusaha meneran berpandukan cara-cara meneran yang ana perolehi daripada bahan bacaan yang telah ana baca. Walau bagaimanapun, ianya tidak banyak membantu sebaliknya menyebabkan ana berasa semakin sakit dan lemah. Justeru, sekali lagi staf tersebut memarahi dan menengking ana dengan mengatakan ” meneran pun nda pandai. Kau rasa lah sakit tu kalau macam tu ! ”, kemudian berlalu meninggalkan ana sendirian. Ya Allah, betapa sedihnya dan kecewanya ana mendengarkan kata-katanya.


Dalam keadaan sakit, penat, dan kehausan kerana terlalu banyak menggunakan tenaga, ana termuntah di tepi katil. Seorang staf yang lain datang dan memeriksa keputusan CTG yang telah dipasang sejak ana dimasukkan di bilik ini awal tadi. Ana memberitahunya bahawa ana sudah betul-betul tidak mampu menahan sakit dan memintanya agar membuat pembedahan sahaja. Dia seorang yang agak baik dan memberikan kata-kata semangat kepada ana. Staf tersebut memeriksa kedudukan bayi di dalam perut. Kepala bayi sudah berada di bahagian bawah dan pembedahan tidak boleh dilakukan lagi. Selain itu, staf itu juga mengajar ana cara menggunakan gas enthonox dengan betul. Kini ianya sudah sedikit membantu mengurangkan sakit namun ia menyebabkan ana semakin lemah dan terasa seperti ingin tidur.



* Khalifah kecil terlena


Denyutan jantung bayi semakin perlahan. Doktor datang untuk memeriksa bukaan. Sudah 9 cm. Beliau mengarahkan ana untuk meneran setiap kali kontraksi yang kuat datang. Alhamdulillah ana secara tiba-tiba sudah pandai meneran dengan baik. Doktor memuji ana dan mengatakan bahawa ana seperti sudah ada pengalaman melahirkan padahal ini merupakan pengalaman pertama ana. Dalam keadaan ana yang lemah dan bayi juga agak lemas, ana membisikkan pada bayi dalam kandungan agar turut membantu ana mengurangkan rasa sakit dan melancarkan proses melahirkan. Ana terus cuba meneran dan meneran. Sayangnya menurut doktor, kepala bayi terpusing dan bahagian hidungnya tersangkut. Oleh itu, doktor terpaksa mengunting sebanyak 3 kali untuk membolehkannya keluar dengan lebih mudah. Namun demikian, sakit akibat guntingan itu sudah tidak terasa bagi ana memandangkan sakit kontraksi adalah lebih hebat daripada itu.


Pada saat doktor sudah membuat keputusan untuk menggunakan vakum serta menyediakannya, ana akhirnya berhasil melahirkan bayi ana pada jam 7.59 p.m. syukur pada Ilahi. Kesakitan yang ana rasai sebelumnya terasa hilang serta-merta apabila tangisan bayi berkumandang memenuhi ruangan tersebut. Setelah tali pusat bayi dipotong, staf terus meletakkanya di atas perut ana. Syukur pada Mu ya Allah. Ana memeluk dan menciumnya buat pertama kali. Dia kelihatan begitu kecil sekali. Beratnya hanya 2.6 kg ketika dilahirkan. Ana sudah tidak peduli pada staf-staf yang masih bertugas untuk menjahit guntingan itu tadi. Kelahirannya menjadikan ana lupa pada kesakitan yang sebelumnya sudah tidak mampu ana hadapi.


Sementara menunggu staf yang bertugas selesai membersihkan bayi, ana berehat buat seketika setelah menggunakan terlalu banyak tenaga untuk melahirkan bayi sebentar tadi. Seterusnya, staf menyerahkan bayi kepada ana untuk diberikan susu buat pertama kali selama sejam. Ana bertanya sama ada suami ana boleh masuk untuk mengazankan bayi atau tidak. Malangnya staf tersebut memberitahu bahawa sebentar lagi ana akan dihantar semula ke wad dan adalah lebih baik sekiranya dia mengazankannya di wad sahaja. Justeru, ana mengambil inisiatif lain dengan membacakan iqamat kepada bayi ana. Entahlah sama ada tindakan ana ini betul ataupun tidak, tetapi hati kecil ana bertegas untuk memperkenalkannya kepada tuntuan agama Islam buat pertama kalinya. Ya, semoga kelak dia menjadi seorang muslimin yang bertakwa. Amin.


Setelah menukar pakaian bersih, ana ditolak menggunakan kerusi roda ke wad. Di kaunter dewan bersalin, ana sempat mengucapkan terima kasih kepada staf-staf dan doktor yang telah banyak membantu ana sebentar tadi. Ana memangku bayi ana dengan penuh rasa cinta. Ana sudah tidak sabar untuk memperlihatkannya kepada suami tersayang. Sejujurnya, ana merasa bangga kerana telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki kepadanya. Pastinya dia akan merasa gembira sekali. Dan seperti yang ana duga, suami ana sudah menunggu-nunggu kemunculan ana di luar dewan bersalin. Ana segera memberitahunya bahawa bayi kami adalah lelaki dan memintanya mengikuti ana ke wad Kenanga 1 untuk mengazankannya.


Kini ana tinggal bersendirian di wad tersebut. Suami ana sudah pulang ke rumah beberapa minit yang lalu. Melalui pesanan ringkas ( SMS ), dia memberitahu ana bahawa nama bayi kami ialah Zayd Harithah. Ana tidak banyak bertanya dan terus menyetujuinya. Biarlah dia mendapat keistimewaan untuk memberikan nama yang disukainya. Ana merasa puas dan gembira sekali. Semalaman ini ana tidak tidur kerana terlalu asyik memperhatikan sang permata hati ana yang sedang nyenyak tidur. Sekejap-sekejap dia akan terkejut dan terbangun untuk menyusu lagi. Biarlah. Yang jelas, ana seakan-akan tidak puas-puas untuk menatap dan menyayanginya walaupun keletihan dan kesakitan masih lagi belum pulih sepenuhnya. Segala puji dan syukur pada Mu, Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya, daripada Mu kami datang dan hanya kepada Mu juga kami kembali.

Allahuakbar ! Allahuakbar !! Allahuakbar !!!



* Ummu Zayd Menulis